Kebimbangan dan kontroversi XXIV Olympic Winter Games

Ekoran daripada isu Kertas Xinjiang, tunjuk perasaan Hong Kong, diplomasi Wolf Warrior dan genosid Uyghur, terdapat pihak yang menggesa negara-negara Barat agar memboikot edisi Sukan Olimpik ini.[117][118][119][120] Ahli politik dan pemimpin beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom,[121] Kanada dan Australia[122] telah mencadangkan kerajaan mereka agar tidak menghantar kontijen ke temasya tersebut. Selain itu, terdapat juga individu yang mengharapkan temasya ini boleh dianjukan di tempat lain,[123][124] manakala ada yang mengharapkan pemimpin dan pegawai kerajaan negaranya untuk melakukan "boikot diplomatik" dengan tidak menghadiri Beijing 2022.[125] Terdapat juga beberapa alternatif lain yang dicadangkan seperti menarik balik penajaan kepada Sukan Olimpik 2022 dan tidak menyiarkan acara Olimpik. [126][127]

Pada Februari 2021, syarikat akhbar milik kerajaan China, Global Times, telah mengatakan bahawa negara China akan menyekat mana-mana negara yang memboikot Sukan Olimpik 2022.[128][129] IOC pula mengatakan bahawa mereka kekal neutral dalam semua isu politik dan tindakan menganugerahi hak penganjuran kepada sesebuah negara tidak bermakna organisasi tersebut menyokong struktur politiknya, keadaan sosialnya atau standard hak asasi manusianya.[130] Pada Sukan Olimpik Tokyo, IOC telah menggantungkan NOC Korea Utara kerana negara tersebut tidak menyertai Sukan Olimpik. Hal ini telah menyebabkan berlakunya spekulasi bahawa IOC juga akan menggantung mana-mana NOC yang memboikot Sukan Olimpik 2022.[131][132]

Impak pandemik COVID-19

Pandemik COVID-19 telah membawa kesan terhadap kelayakan bagi beberapa sukan apabila kejohanan yang berkaitan telah dibatalkan. Persekutuan Curling Dunia mencadangkan agar slot kelayakan curling bagi Sukan Olimpik 2022 diberikan berdasarkan kedudukan atlet dalam kejohanan dunia 2021. Sebuah kejohanan kelayakan khas turut disyorkan sebagai pengganti mata yang dimenangi dalam kejohanan dunia 2020 dan 2021. Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) pula memberikan slot kelayakan bagi acara perempuan berdasarkan Ranking Dunia IIHF apabila Kejohanan Dunia Perempuan 2020 dibatalkan.[133][134]

Pada 29 September 2022, IOC mengumumkan protokol biokeselamatan bagi Sukan Olimpik 2022. Semasa temasya tersebut berlangsung, semua atlet hanya dibenarkan untuk bergerak dalam "gelembung sukan" (Bahasa Inggeris: Bio-secure bubble) dan perjalanan mereka turut disekat. Sekiranya seseorang atlet belum divaksinkan, atlet tersebut perlulah berkuarantin selama 21 hari setelah tiba di China. Ujian COVID-19 harian turut akan dilakukan terhadap semua atlet yang bertanding.[135][136]

Pada September 2021, Liga Hoki Kebangsaan (NHL) telah mencapai sebuah persetujuan dengan Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa untuk membenarkan pemain profesional NHL untuk bertanding dalam Sukan Olimpik 2022.[137] Namun pada 23 Disember 2021, NHL mengumumkan bahawa mereka tidak akan menghantar pemain ke temasya tersebut atas sebab Pandemik COVID-19 dan varian Omicron.[138][139][140][141]

Pada Januari 2022, disebabkan oleh kemunculan varian Omicron dan peningkatan kes COVID-19 di China, rancangan untuk membenarkan penonton yang berada China masuk ke tempat pertandingan telah dibatalkan. Hanya segelintir penonton yang telah diundang dibenarkan masuk ke tempat pertandingan. Temasya ini merupakan Sukan Olimpik kedua yang melarangkan kehadiran penonton.[142]

Setiap individu yang menyertai temasya ini, termasuk atlet, pegawai dan penonton, telah diwajibkan untuk memasang aplikasi My2022 untuk tujuan penyerahan deklarasi kastam dan rekod keselamatan, pelaporan kesihatan kendiri harian, penyimpanan rekod vaksinasi dan ujian COVID-19 serta penyampaian maklumat. Namun, wujudnya kebimbangan terhadap keselamatan siber aplikasi tersebut. Citizen Lab, sebuah kumpulan kajian keselamatan siber yang berpusat di Kanada, telah mengeluarkan amaran bahawa pengguna aplikasi My2022 akan terdedah terhadap pencerobohan data dan tertakluk kepada dasar penapisan Internet di China.[143] Terdapat beberapa jawatankuasa Olimpik telah mencadangkan hadirinnya menggunakan telefon bimbit prabayar, mencipta akaun e-mel khas untuk penggunaan mereka di China dan tidak membawa telefon pintar dan komputer riba peribadi mereka ke china.[144][145][146]

Boikot diplomatik

Boikot diplomatik bermaksud sesebuah negara tidak akan menghantar pemimpin negara, pegawai atau wakil kerajaannya ke Sukan Olimpik. Namun, atlet-atlet dari negara masing-masing masih boleh bertanding.

Negara-negara berikut telah mengumumkan bahawa mereka akan memboikot Sukan Olimpik 2022 secara diplomatik: